
# Merangkai Tindakan Hijau.


Pelbagai tindakan hijau yang dilaksanakan kini adalah akibat daripada rentetan pelbagai kemusnahan yang telah dilakukan oleh manusia ke atas muka bumi ini sejak ratusan malahan ribuan tahun dahulu. Justeru, telah menimbulkan kesedaran dan komitmen tentang peri pentingnya alam sekitar perlu dipelihara dan dipulihara sepenuhnya untuk kegunaan masyarakat hari ini dan akan datang.
Tindakan hijau ini terhasil akibat langsung daripada kedurjanaan alam sekitar yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengikut etika serta syariat yang ditetapkan lantas mengeksploitasi sumber alam ini sewenang-wenangnya dan hanya mementingkan keuntungan ekonomi semata-mata. Maka, terjadilah masalah yang kita alami pada hari ini.
Persoalan yang timbul di pemikiran kita ialah apakah setelah sesetengah pihak di negara maju khususnya yang menjadi perintis kepada permasalahan alam sekitar, meminta pula pihak lain untuk memulihkannya bersama-sama mereka. Lantas, akibat tindakan itu mereka dilihat pula sebagai pejuang alam sekitar yang begitu hebat dan terkehadapan dalam mengetengahkan isu-isu yang menyangkut permasalahan alam sekitar.
Mereka juga telah mencipta konsep-konsep pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang lunak untuk memperlihatkan tentang kehebatan mereka.
Laungan amaran mengenai trend penggunaan sumber ini telah pun dibuat oleh sekumpulan penyelidik yang menganggotai Club of Rome hampir empat dasawarsa yang lalu. Dalam buku yang berjudul Limits to Growth mereka menyatakan bahawa jika corak pertumbuhan penduduk dunia, industrialisasi, pencemaran, pengeluaran makanan dan penghakisan sumber berlaku secara terus-terusan, had batas untuk pertumbuhan planet Bumi ini akan dicapai dalam tempoh seratus tahun akan datang.
Namun begitu, belum pun separuh daripada jangka masa yang dinyatakan itu sampai, pelbagai masalah yang bersabit dengan had tampungan bumi telah melanda. Amaran seumpama itu tidak mendapat perhatian secara serius daripada mana-mana pihak. Kesannya yang dapat diperhati dan dirasai kini adalah kesan rumah hijau dan keadaan cuaca yang berlaku di luar daripada kebiasaannya sebelum ini.
Bagaimanapun, atas rasa keprihatinan terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, pelbagai tindakan hijau telah dilakukan. Dua pendekatan tindakan hijau yang dilihat telah dan sedang diambil secara bergandingan oleh pelbagai pihak (kerajaan, syarikat swasta, NGO dan CBO) untuk membantu tindakan hijau ini berlegar di sekeliling kita sama ada disedari ataupun tidak.
Jutaan ringgit juga telah dilaburkan untuk tujuan tersebut. Sebagai contohnya dalam usaha mengurangkan pergantungan yang keterlaluan kepada sumber petroleum dan gas, pelbagai kaedah alternatif diperkenalkan dari pihak atasan hinggalah barangan yang dijual di pasar-pasar malam semuanya menjurus kepada tindakan hijau ini.
Menyedari akan hakikat tersebut, satu perubahan yang bersifat revolusi dituntut untuk berubah secara pantas dalam setiap aktiviti sosial dan ekonomi daripada yang bersifat semasa yang dilihat tidak sihat dan tidak lestari kepada suatu corak penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai asas kepada aktiviti ekonomi dan sosia.
Satu-satunya jalan terbaik untuk mengubah darjah pergantungan kepada sumber tenaga petroleum dan gas ini sebagai contohnya adalah dengan meluaskan amalan cara dan gaya hidup beretika. Amalan yang sewajarnya dimulakan dari dalam diri setiap insan untuk memastikan kehidupan mereka akan terus berada dalam kesejahteraan pada masa kini dan hadapan.
Telah banyak usaha yang berterusan yang dijalankan untuk mencari sumber alternatif tenaga demi kelangsungan dan survival kehidupan manusia di satu-satunya planet yang dihuni oleh manusia ini. Usaha yang dilakukan kerajaan untuk mewujudkan sistem transit massa (MRT) sebagai contohnya perlu dilihat dalam konteks pelan tindakan hijau untuk membawa masyarakat di negara ini keluar daripada pergantungan yang keterlaluan terhadap sumber petroleum dan mengurangkan kesan pencemaran karbon dioksida yang dibebaskan oleh asap kenderaan dan kilang-kilang.
Perancangan untuk mewujudkan sistem pengangkutan massa berasaskan tenaga elektrik dapat mengurangkan jejak karbon bagi setiap penduduk terutamanya di bandar-bandar besar di negara ini.
Usaha-usaha penyelidikan yang sedang dilakukan dalam penggunaan tenaga nuklear untuk menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui boleh dikategorikan dalam paradigma ini. Manakala dalam terma sosial dan ekonomi pula adalah melalui kawalan harga sumber; polisi yang digubal; serta gaya hidup yang beretika dan perubahan tingkah laku.
Usaha yang dilakukan oleh kerajaan seperti kempen mengurangkan penggunaan beg-beg plastik, kitar semula, amalan hidup sihat serta program Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar dan Bandar Lestari - Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar akan dapat mengubah tingkah laku penduduk dan akhirnya dapat mengurangkan pergantungan keterlaluan kepada sumber tersebut.
Kesemua usaha yang dilakukan perlu dirangkaikan dalam etika tindakan hijau yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat beretika serta berhemah dalam menggunakan sumber alam kurnian Ilahi dan mampu bertahan dalam gaya hidup yang lebih sihat dan hijau sifatnya.
# Langkah memelihara Alam Sekitar
|
# Alam Sekitar
Alam semula jadi bermaksud merangkumi segala jirim hidup dan jirim bukan hidup yang berada secara semula jadi di bumi. Dalam pengertian yang paling tulen, ia adalah persekitaran yang tanpa kegiatan manusia. Lawannya perkataan "alam semulajadi" ialah "persekitaran terbina".
Bagi sebahagian orang, terdapat kesulitan terhadap istilah "alam semulajadi" kerana kebanyakan persekitaran semula jadi mempunyai pengaruh manusia pada satu masa atau lain, baik secara langsung atau tidak. Bagi mengatasi masalah ini, sedikit sebanyak pengaruh manusia diizin tanpa menyebabkan sesuatu landskap dikecualikan daripada status "semula jadi". Biasanyan, maksud istilah ini tergantung kepada konteksnya lebih daripada definisi yang ditentukan. Banyak persekitaran alam semula adalah hasil daripada interaksi di antara alam semula jadi dan manusia. Oleh sebab alasan ini, istilah "ekosistem" telah digunakan untuk menggambarkan persekitaran yang mengandungi alam semula jadi, termasuknya manusia. Berdasar ini, masalah persekitaran adalah masalah manusia atau sosial. Ada sebilangan orang menganggap bahawa pengasingan "persekitaran" daripada "manusia" amat berbahaya. Ini merupakan pemahaman umum yang telah menjadi dasar environmentalisme, yakni pergerakan politik, sosial dan falsafah yang luas dan yang menyokong pelbagai tindakan dan dasar untuk melindungi apa-apa alam semula jadi yang tinggal, atau mengembalikan serta mengembangkan peranan alam semula jadi di persekitaran ini. Sungguhpun tanah gersang semakin jarang, alam liar (umpamanya, hutan yang tidak dikendali, padang rumput yang tidak dikerjakan,binatang liar dan bunga liar) dapat ditemui di banyak tempat yang dahulu dihuni manusia.
Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomena fizikal sama ada biotik atau abiotik yang melingkungi suatu organisma. Fenomena fizikal ini termasuk juga fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca. (Mohd Zuhdi Marsuku, 2002)
Terdapat satu lagi definsi alam sekitar. Namun ia lebih kepada kefahaman “environmentalisme“. Dijelaskan bahawa ia merupakan satu istilah geografi tentang doktrin falsafah yang memberikan penekanan terhadap aspek fizikal alam sekitar seperti keadaan iklim dunia yang berkait dengan aktiviti manusia.


